Sunday, 24 July 2016

PELUK ISLAM DI JAMUAN RAYA


PELUK ISLAM DI JAMUAN RAYA

Oleh : Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 17 Julai :  Majlis Rumah terbuka Dewan Bersalin Muslimah (DBM Hospital) Taman Cermai, Permatang Pauh sayu sejenak ketika majlis mengislamkan saudara baru, Adam Lawrance Abdullah diadakan.

Majlis syahadah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Paduka Husam Musa dengan disaksikan oleh penaung Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) MyIkut Zolkiply Md Lazim, Pengerusi MyIkut, Nur Azley Stanley dan Biro Dakwah Myikut, Ustaz Abdul Malik Abdullah.

Rumah terbuka DBM Hospital itu merupakan program tahunan untuk meraikan kakitangan, pelanggan yang pernah mendapat perkhidmatan di situ selain individu dan masyarakat setempat. Berbagai juadah dihidangkan untuk hadirin seperti sate, nasi ayam, ketupat, mee dan banyak lagi.

Datuk Paduka Husam Musa ketika berucap ringkas menyifatkan NGO MyIkut sangat tekun melaksanakan tugasan dakwah. Beliau mengakui bahawa tugasan seumpama ini sukar dilakukan jika tidak mempunyai asas-asas pegangan agama yang kuat.

"Syabas NGO MyIkut kerana berani bertindak sebagai pendakwah yang serius serta tidak gentar dengan dugaan dan rintangan..." katanya.

Saudara baru, Adam Lawrance pula semasa menceritakan tentang hasratnya untuk memeluk Islam yang dikatakan telah lama dipendamkan beliau, namun selepas berkawan rapat dengan rakan-rakan Melayu, jiwanya kembali bertaut untuk mengenali Islam secara serius.

"Selepas melihat adik dan ibu saya masuk Islam timbul perasaan ingin mendekati Islam..." kata beliau.

Sementara itu Penaung NGO MyIkut, Zolkipkly Md Lazim mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kerana meluangkan masa untuk datang ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan ini..." katanya.

No comments:

Post a Comment